14 orang terima surat tawaran rumah SPK Maludam

MALUDAM: Seramai 14 orang telah menerima surat tawaran Rumah SPEKTRA Permata (RSP) Skim Pembesaran Kampung (SPK) Maludam fasa pertama.

Program penyerahan surat itu dan cabutan lot penerima terbabit dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di Perpustakaan Desa, Kampung Maludam, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata ini adalah komitmen kerajaan Sarawak melalui HDC untuk menyediakan kediaman berkualiti kepada rakyat, khususnya dalam kawasan luar bandar.

“Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,”katanya.

Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Kaunselor Suhaidi@Roslan Los telah mewakili ADUN Lingga di program terbabit yang turut dihadiri Pegawai Tadbir HDC, Rozni Raduan dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Lingga, Abdul Rahim Jamil.