Semangat pelajar, guru pendidikan khas dikagumi

SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menzahirkan penghargaan kepada guru dan pelajar pendidikan khas yang sentiasa menunjukkan semangat tinggi dalam kegiatan kokurikulum.

Beliau berkata, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan warga pendidikan khas membuktikan bahawa semangat juang dan keazaman mampu mengatasi segala kekangan yang dihadapi.

“Guru-guru ini memainkan peranan besar dalam membimbing pelajar dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Mereka antara tulang belakang pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Pertandingan Petanque Triple Terbuka Pendidikan Khas Sri Aman–Lubok Antu 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lingga semalam.

Dayang Noorazah turut meninjau kawasan sekitar SMK Lingga serta mendengar makluman terkini daripada Pengetua sekolah, Mesra Beji, mengenai perkembangan semasa sekolah serta beberapa keperluan dan kekangan yang dihadapi.