LUNDU: Projek pembinaan jambatan konkrit di Kampung Sebako 2 yang dijadual bermula 7 November lalu, dijangka siap pada 6 November 2026.
Majlis lawatan dan penyerahan tapak Projek Agensi Pelaksana Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N1 Opar, Billy Sujang di sini, semalam.
Projek membabitkan kos sebanyak RM7 juta itu akan memudahkan pergerakan harian ke kebun dan ladang pertanian di samping memperkukuh hubungan antara kampung sekitar.
Setelah jambatan tersebut siap, beberapa jaringan jalan pertanian akan dibina bagi memudahkan penduduk mengangkut hasil pertanian untuk dipasarkan.
Selain itu, majlis itu turut menyaksikan penyerahan projek menaik taraf sistem paip graviti di Kampung Sebako 1 dan Kampung Sebako 2 dengan kos RM688,850 yang siap 16 September 2025.
Billy turut menyerahkan projek menaik taraf sistem paip graviti di Kampung Jantan, Lundu (Fasa 1) yang siap dengan peruntukan RM450,000 dan telah dilaksanakan dari 28 Julai hingga 27 Oktober 2025.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusuf Awang Mostapha; Jurutera JKR Bahagian Kuching, Ir Ts Wang Say Kwang; Pegawai Tadbir GKCDA, Mohd Badrulhisyam Mutae; Pengarah Urusan P.L Consultants, Ir Dr Law Puong Ling; Pengarah Sanyar Resources Sdn Bhd, Mohd Zulkarnaen Khalid.
