Santubong berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

KUCHING: Kawasan Santubong yang mempunyai pelbagai sejarah Sarawak berpotensi diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, kawasan tersebut menyimpan banyak rahsia sejarah yang belum diterokai sepenuhnya.

Beliau merangkap Ahli Parlimen Santubong berkata, penemuan tapak arkeologi di Sungai Jaong, Bukit Maras dan Bukit Samarahan jelas membuktikan bahawa kawasan itu pernah menjadi pusat perdagangan antarabangsa sejak abad ketujuh Masihi.

“Gunung Santubong bukan hanya mercu tanda geografi, tetapi lambang kepada kehebatan tamadun purba yang memiliki kemahiran metalurgi dan jaringan maritim luas.

“Ini bukti bahawa nenek moyang kita sudah berhubung dengan dunia luar jauh sebelum wujudnya teknologi moden,” katanya berucap merasmikan Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu & Jejak Tamadun yang diadakan di CENTEXS Santubong hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman membesar di Santubong yang memperlihatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum, utuh dengan nilai muhibah dan perpaduan yang telah lama wujud di kawasan itu.

Justeru, beliau komited untuk menjadikan Santubong sebagai destinasi warisan bertaraf nasional dan antarabangsa.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau menggariskan empat strategi utama iaitu pendidikan komuniti tempatan, penglibatan generasi muda, kerjasama pelbagai pihak dan pembangunan lestari yang tidak menjejaskan tapak warisan.

Nancy turut menyeru agar generasi muda menjadi “Duta Warisan Santubong” dengan menyebarkan ilmu dan semangat cintakan warisan kepada keluarga, rakan dan masyarakat setempat.

Seminar bertemakan “Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun” itu menghimpunkan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pelajar, wakil agensi kerajaan dan komuniti tempatan.