KUCHING: Memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan keadilan negara kini menjadi tumpuan Kerajaan Sarawak, termasuk dalam sistem kehakiman di Mahkamah Syariah dan Sivil.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, usaha itu penting bagi memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam semua urusan undang-undang dan pentadbiran.
“Sebagai bekas pengamal undang-undang, saya masih melihat prosiding mahkamah menggunakan bahasa Inggeris atau bercampur dengan bahasa kebangsaan.
“Justeru, penggunaannya perlu diperluas ke Mahkamah Sivil,” katanya ketika merasmikan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Mahkamah Syariah di DBP Cawangan Sarawak, hari ini.
Beliau menekankan bahawa bahasa kebangsaan perlu dirakyatkan supaya mudah difahami semua lapisan masyarakat, seterusnya memastikan keadilan dapat diakses tanpa mengira latar belakang rakyat.
Kerajaan Sarawak katanya, melalui DBP dan agensi berkaitan giat menerbitkan bahan rujukan dan istilah perundangan dalam bahasa Melayu untuk membantu pengamal undang-undang, pelajar dan orang awam memahami istilah yang tepat dan standard.
Sharifah Hasidah turut menambah, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg komited memartabatkan bahasa Melayu di semua sektor, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan Sarawak Maju Makmur.
