DAVAO: Sarawak semakin menonjol di pentas serantau apabila Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Menteri dan Pegawai Kanan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini, hari ini.
Beliau juga mengetuai delegasi Malaysia dalam 7th Chief Ministers, Governors and Local Governments Forum (CMGLF) serta memegang tanggungjawab portfolio BIMP-EAGA Sarawak.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai isu penting termasuk kerjasama maritim, perdagangan rentas sempadan, pembangunan tenaga, peningkatan keterhubungan wilayah, pembangunan modal insan dan hal ehwal sempadan.
Awang Tengah berkata, penglibatan sektor swasta yang aktif adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan memperkukuh peluang pelaburan di rantau BIMP-EAGA.
“Dasar dan peraturan diselaraskan, keselamatan dipertingkat dan kemudahan logistik dipermudah bagi mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menekankan sokongan Malaysia terhadap peranan BIMP-EAGA Business Council sebagai platform utama dalam memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kerjasama antara negara anggota.
