LUNDU: Sarawak akan memperkukuhkan hubungan dengan Indonesia menerusi peningkatan taraf pintu sempadan Biawak serta pembukaan laluan penerbangan terus Kuching-Jakarta oleh AirBorneo mulai Oktober ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penaiktarafan Biawak akan menjadi antara saluran penting bagi memperluaskan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi Sarawak dengan Kalimantan dalam konteks pembangunan ASEAN.
“Hubungan lebih erat dengan Kalimantan berpotensi merancakkan kegiatan perniagaan antara kedua-dua wilayah, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada Sarawak.
“Bahkan kita turut menerima kunjungan Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia bersama delegasi yang menyatakan hasrat membentuk rangkaian kerjasama ekonomi Borneo bagi menghubungkan wilayah itu dengan ekonomi ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan Regata Batang Kayan 2026 di Dataran Lundu, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abang Johari menjelaskan AirBorneo akan memperluaskan rangkaian penerbangan ke Jakarta pada Oktober ini, dengan perjalanan terus dari Kuching mengambil masa kira-kira satu jam 20 minit.
Beliau berkata, kemudahan hubungan udara itu dijangka meningkatkan kemasukan pelancong Indonesia ke Sarawak, selain menyokong pertumbuhan sektor pelancongan termasuk di Tanjung Datu.
“Borneo akan dijaringkan kepada ekonomi rantau ASEAN dan ini adalah peluang baharu dan kerjasama yang akan mewujudkan pembangunan dalam usaha melonjakkan ekonomi kita,” katanya.
