KUCHING: Cadangan penganjuran perlumbaan perahu Sirkit Regata Sarawak yang diumumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg disambut baik wakil rakyat negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata ini kerana regata adalah tradisi turun-temurun yang mendekatkan hubungan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dan bukan sekadar perlumbaan perahu.
“Saya menyambut baik pengumuman berhubung cadangan penganjuran Sirkit Regata Sarawak mulai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataannnya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman cadangan Premier Sarawak, semalam.
Hamzah berkata, beliau sendiri pernah menyuarakan cadangan agar regata ini diberi perhatian lebih tersusun kerana percaya ia mampu menjadi pemangkin ekonomi, memberi peluang kepada peniaga kecil, serta mengangkat nama Sarawak di mata pelancong luar.
“Sebagai peminat tegar lumba perahu, saya juga mempunyai pasukan sendiri, iaitu Pasukan Perahu Udak,” katanya.
Menurutnya, pengalaman bersama pasukan ini memberi beliau keyakinan bahawa dengan sokongan kerajaan negeri, regata boleh berkembang lebih jauh dan menjadi sukan rakyat yang benar-benar membanggakan.
“Sejarah membuktikan bahawa regata di Sarawak bermula seawal 1872 pada era pemerintahan Rajah Charles Brooke, menjadikannya antara acara sukan tradisional tertua yang terus hidup hingga hari ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mahu tradisi ini perlu terus diperkukuh agar kekal relevan dengan zaman serta Sarawak juga boleh mengambil contoh daripada kejayaan Pacu Jalur di Riau, Sumatera, Indonesia, yang telah menjadikan negara itu terkenal di mata dunia.
