SPAOH: Penerbangan percubaan di Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di sini hari ini lancar, membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuhkan jaringan udara di Bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penerbangan berkenaan menjadi asas kepada perbincangan lanjut mengenai operasi STOLport, termasuk penetapan tarikh penerbangan komersial.
Bagaimanapun, katanya, tarikh operasi komersial masih belum ditetapkan dan hanya akan diputuskan selepas perbincangan bersama pihak berkaitan.
“Secara praktiknya, penerbangan percubaan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Kita gembira kerana hari ini kita dapat melihat lapangan terbang ini digunakan,” katanya semasa menyaksikan penerbangan percubaan di STOLport Bebuling di sini hari ini.
STOLport Bebuling dibangunkan dengan kos RM248.026 juta, mempunyai landasan sepanjang 1.119 kilometer (km) dan berkeupayaan menerima pesawat seperti King Air.
Menurut Uggah, kemudahan itu bukan sekadar berpotensi menjadi hab pengangkutan penumpang, malah boleh memainkan peranan penting sebagai pusat pengendalian kargo bagi menyokong sektor pertanian dan industri setempat.
Katanya, kewujudan pusat pembungkusan di hadapan terminal serta taman agro seluas kira-kira 1,000 hektar di belakang STOLport membuka peluang hasil pertanian tempatan dipasarkan ke luar kawasan.
“Ini memberi potensi besar kepada kita untuk membawa hasil pertanian ke pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata, kedudukan STOLport Bebuling akan menjadi semakin strategik dengan siapnya Jambatan Batang Lupar II yang dijangka memendekkan tempoh perjalanan dari kawasan sekitar Batang Lupar ke Betong.
Dalam sektor pelancongan, katanya, STOLport berkenaan turut berpotensi menjadi pintu masuk baharu kepada pelancong untuk menerokai produk pelancongan di Betong dan kawasan sekitarnya.
Antara tarikan yang boleh diketengahkan termasuk replika Kubu Rentap di Bukit Sadok, rumah panjang berusia lebih 100 tahun serta destinasi pelancongan di Kabong dan Batang Ai.
Uggah berkata, penerbangan dari Kuching ke Bebuling hanya mengambil kira-kira 15 minit berbanding sekitar tiga jam perjalanan melalui jalan darat, sekali gus menawarkan pilihan perjalanan pantas.
Dalam pada itu, aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan sebelum STOLport berkenaan memulakan operasi komersial sepenuhnya.
Menurutnya, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan keselamatan penerbangan, selain kemudahan bomba turut disediakan di lapangan terbang berkenaan.
Perbincangan lanjut berkaitan aspek keselamatan, operasi dan penyelenggaraan akan dilaksanakan sebelum proses pelesenan serta operasi komersial dimuktamadkan.
Uggah berharap kewujudan STOLport Bebuling mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian, kargo, industri dan pelancongan.
Apabila Premier Sarawak mengumumkan pembinaan lapangan terbang ini dahulu, kita tertanya-tanya apa kegunaannya.
“Tetapi hari ini ia jelas bahawa kemudahan ini boleh menggerakkan aktiviti ekonomi, pengeluaran dan memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
