DARO: Projek naik taraf Surau Darul Ihsan di Kampung Badong yang dilaksana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) N.43 Daro siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata projek membabitka kos RM80,000, sekali gus meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan jemaah.
Katanya, pelaksanaan projek RTP itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas termasuk rumah ibadat dalam keadaan baik demi kesejahteraan rakyat luar bandar.
Katanya, surau bukan sahaja berperanan sebagai tempat menunaikan ibadah, malah menjadi pusat penyatuan komuniti melalui pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
“Sehubungan itu, saya berharap kemudahan yang lebih selesa dan selamat ini dapat menggalakkan lebih ramai penduduk memanfaatkan surau sebagai pusat pembangunan rohani dan sosial,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Siap projek berkenaan, petang semalam.
Projek tersebut melibatkan pembinaan awning tambahan, kerja-kerja menyimen perkarangan surau serta pemasangan pagar jenis ‘guardrail’ bagi menambah baik kemudahan sedia ada.
Projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Daro selaku agensi pelaksana dan kini sedia dimanfaatkan penduduk.
