KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya membangunkan ciptaan sensor pengesan kehadiran kepala air yang mampu mengesan fenomena itu dari jarak sehingga lima kilometer (km).
Komander PGA Briged Sarawak , SAC Lim Bak Phai berkata ciptaan ini dibangunkan sepenuhnya oleh anggota mereka sendiri, termasuk dari aspek coding, algoritma pengesanan dan atur cara sensor.
“Sensor yang dibangunkan ini mampu mengesan perubahan mendadak pada paras air, tekanan serta gelombang arus dari jarak sehingga lima km sebelum kepala air tiba di kawasan hotspot,” katanya.
Lim berkata, melalui pengesanan awal sensor itu, amaran boleh dikeluarkan lebih awal kepada orang ramai di kawasan hotspot sama ada perkampungan berhampiran sungai, pusat perkelahan, kawasan riadah atau tapak perkhemahan bagi menyelamatkan diri sebelum kepala air sampai ke lokasi.
Selain itu, sensor itu boleh beroperasi dalam semua keadaan dan pelbagai keadaan muka bumi di samping mampu beroperasi secara autonomi menggunakan sistem komunikasi alternatif dan penghantaran isyarat jarak jauh tanpa perlu liputan internet.
“Keupayaan ini menjadikan ia sangat relevan untuk negeri seperti Sarawak yang mempunyai banyak kawasan pedalaman dan jaringan sungai yang luas,” katanya.
Selain itu, ia berpotensi jadi penanda aras baharu sistem amaran awal bencana di Malaysia.
