SARATOK: Kolej Vokasional Pertanian (KVP) dicadang dibina dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, tapak membangunkan KVP itu dikenal pasti di atas tanah seluas 60 ekar di Kampung Kaba dan lawatan susulan akan dilakukan ke tapak tersebut 24 Julai depan.
“Saya berharap agar impian memiliki KVP ini direalisasikan di kawasan DUN Kalaka dalam usaha melahirkan generasi baharu dalam pelbagai bidang pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat tapak cadangan projek KVP terbabit dipengerusikan Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Saratok, di sini, hari ini.
Mohamad Duri berkata, KVP ini diwujudkan di Pahang, Perak, Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan. Ia menawarkan jurusan agroindustri tanaman, agroindustri ternakan poltri, agroindustri ternakan ruminan, akuakultur, pemprosesan makanan, pengurusan perniagaan, senibina landskap, teknologi mekanisasi agro dan bioteknologi pemprosesan makanan.
