KUCHING: Jawatan Yang Dipertua Dewan Negara yang masih kosong berikutan pemergian penyandangnya, Senator Datuk Mutang Tagal pada Mei lalu dijangka kekal menjadi milik anak Sarawak.
Perkara itu dikongsikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg namun enggan mengulas lanjut.
Menurut Abang Johari, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan calon Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu namun yakin ia akan diisi anak Sarawak.
“Kita tunggulah (pengumuman) Perdana Menteri berhubung siapa Speaker Dewan Negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Simposium dan Ekspo Warisan Budaya Iban 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam ucapan beliau, Premier Sarawak bersetuju menyalurkan peruntukan kepada Yayasan Budaya Dayak (DCF) bagi menaik taraf Kubu Lily di Betong dan Kubu Sylvia di Kapit.
Namun katanya, kerajaan akan meneliti terlebih dahulu peruntukan untuk disalurkan bagi melaksanakan projek berkenaan.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai dan mantan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.
