Sarawak amal pengurusan kewangan berhemah

KUCHING: Sarawak yang mencatat hasil pendapatan meningkat 14.8 peratus pada 2023 berbanding 2022 akan mengamalkan tiga perkara utama dalam mengurus kewangan negeri untuk manfaat rakyat, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiga perkara yang diyakini boleh memberi pulangan kepada kerajaan negeri itu ialah mengamal tatakelola perbelanjaan mengurus dengan berhemah, menabung sebahagian daripada pendapatan dan pelaburan.

“Kita sudahpun berbuat demikian dengan tidak lagi memberi peruntukan kepada dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Lindungan dan Pembangunan Tanah Sarawak (LCDA),” katanya semasa merasmikan Persidangan Juruaudti Kebangsaan 2024 di sini.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak menegaskan, dengan cara ini, SEDC dan LCDA akan berusaha berdikari dan jika mereka mencatat keuntungan setiap tahun, kerajaan negeri akan mendapat dividen.

Dividen itu kelak akan dibelanjakan untuk membangunkan infrastruktur strategik, tegas beliau sambil menambah, kerajaan negeri tahun ini membelanjakan RM4.2 bilion untuk infrastruktur dan RM2 bilion lagi untuk bekalan air dan elektrik.

“Ini merupakan satu cabaran kepada GLC terbabit yang harus berusaha mencari peluang perniagaan baharu untuk membolehkannya berdikari.

“Dengan demikian mereka akan bekerja lebih kuat mencari peluang perniagaan baharu dan jika ini berlaku ekonomi akan bertambah baik untuk pemegang taruh dan rakyat,” katanya.

Budaya pengurusan bersih adalah matlamat kerajaan negeri, kata Abang Johari sambil menzahirkan rasa bersyukur kerana Sarawak diiktiraf sebagai negeri mengurus kewangan dan pentadbiran berhemah selama lima tahun berturut-turut oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Menurut beliau lagi, tahun lalu Sarawak telah mewujudkan Tabung Berdaulat sebagai saluran untuk menyimpan sebahagian daripada hasil pendapatan yang diperoleh untuk masa depan.

Wang yang disimpan di dalam tabung itu yang diuruskan oleh golongan pakar dalam kewangan tidak akan dikeluarkan untuk selama 20 tahun, katanya.

Manakala dalam bidang pelaburan, katanya, Sarawak diyakini memperoleh hasil pulangan yang baik dalam sektor ekonomi baharu.

Harid sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.