Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 di Sibu

KUCHING: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 (HW24) akan diadakan di Sibu, pada 10 Ogos depan.

Menurut kenyataan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak tetamu kehormat sambutan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang. Majlis akan diadakan di RH Hotel, Sibu.

Sambutan juga dihadiri secara fizikal seramai 750 orang jemputan kenamaan lain dan 1,000 orang secara pautan melalui aplikasi zoom mewakili wanita dari 45 pejabat daerah seluruh negeri, penjawat awam Sarawak dan ahli-ahli pertubuhan wanita Sarawak.

HW24 yang beretema “Sarawak Women in Innovation and Technology” juga disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Sambutan akan menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Hari Wanita 2024 iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas dan Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang.

Di samping itu, sempena HW24 juga sebuah buku yang menampilkan seramai 26 personaliti wanita Sarawak yang telah memberi sumbangan yang berharga dalam bidang inovasi dan teknologi akan dilancarkan di sini pada 3 Ogos depan.