KUCHING: Seramai 12,853 Ketua Isi Rumah (KIR) di Sarawak tersenarai dalam golongan Miskin Tegar (MT) setakat 1 Jun 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya mensasarkan 100 peratus daripada 12,853 KIR dikeluarkan daripada senarai eKasih menjelang Julai tahun depan.
“Usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, semua Residen, Pegawai Daerah dan Rakan Strategik dari Kementerian, Jabatan dan agensi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini, hari ini.
Tambah Fatimah, daripada jumlah itu, Pengarah Pejabat Pembangunan Sarawak sedang memutihkan data MT iaitu seramai 7,935 KIR yang telah dikunci di bawah sasaran nasional untuk menoktahkan MT Locked Figure menjelang 31 Julai ini.
“Oleh itu, KPWK mensasarkan supaya baki MT Locked Figure berjumlah 4,918 KIR akan dikeluarkan daripada senarai Miskin Tegar menjelang Julai 2025,” katanya.
