SIMANGGANG: Kebanyakan projek infrastruktur di sini setakat ini dilaksanakan mengikut jadual malah ada yang mendahului jadual asal.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, keseluruhannya Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM4.26 bilion untuk melaksanakan projek infrastruktur berkenaan.
Daripada jumlah itu, RM2.93 bilion nilai projek masih dalam peringkat perancangan, katanya kepada media selepas taklimat lawatan kerja rasmi di JKR Bahagian Sri Aman di sini, hari ini.
“Sebahagian daripada projek ini akan kita teruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) memandangkan RMK-12 kini sudah menghampiri tahun keempat pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, tiada projek sakit dilaporkan setakat ini dengan pencapaian JKR Bahagian Sri Aman harus dibanggakan hasil sokongan wakil rakyat yang turut membantu dari segi tadbir urus projek.
Beliau turut menaruh keyakinan terhadap JKR Bahagian Sri Aman dalam menjayakan semua projek pembangunan instruktur itu meskipun berhadapan dengan cabaran keadaan tanah dan usaha mengalih banyak utiliti penting.
Aidel kemudiannya mengadakan lawatan kerja ke tapak projek menaik taraf jalan di bandar Simanggang dan pembinaan jalan dari kawasan Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar II sebelum mengakhiri lawatannya di tapak Jambatan Batang Lupar II.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Tadbir Khas SADA Datu Indit Bangai dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Minjo Simanding.
