KUCHING: Fatwa baharu diperlukan untuk memperjelaskan hukum dari kemajuan perkembangan sains dan teknologi terkini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, seiring dengan peredaran zaman, perkara baharu dalam mengeluarkan hukum untuk dijadikan panduan yang boleh digunakan oleh masyarakat Islam.
Jelas beliau, penegasan dalam bentuk fatwa adalah perlu dalam perkembangan terbaharu lebih-lebih lagi dalam era kecerdasan buatan generatif, pengklonan haiwan, kesan perubahan iklim dan sebagainya.
“Sebagai contoh, sebelum ini tidak ada klon sekarang sudah ada klon di mana haiwan boleh mukanya sama, bentuknya sama apakah hukum klon ini?,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Seminar Fatwa Peringkat Sarawak 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) di Kompleks Islam Kuching hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, serta Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin.
Abang Johari menambah, bidang ruang angkasa atau ‘aerospace’ juga memerlukan penjelasan dari sudut agama dan Al-Quran kerana bidang astronomi juga berhubung kait dengan ilmu falak.
Ke arah itu katanya, beliau telah meminta untuk dibangunkan fakulti aerospace dengan satelit teknologi dan pengumpulan data bagi menggalakkan orang Islam mendalami bidang astronomi.
