KUCHING: Semua ketua jabatan perlu memainkan peranan penting dalam mengamalkan tadbir urus yang baik dengan memastikan tahap pematuhan yang tinggi terhadap undang-undang dan peraturan kewangan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, adalah penting untuk ketua jabatan terlibat secara langsung dalam hal kewangan, mewujudkan sistem semakan dan imbangan.
Ia termasuk menjalankan pemantauan, pemeriksaan mengejut dan penilaian berkala terhadap kemahiran dan keupayaan pegawai di agensi masing-masing.
Tegas Abang Johari, semua ketua jabatan juga perlu memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah supaya wang rakyat digunakan sepenuhnya untuk kesejahteraan dan manfaat rakyat.
“Saya berharap dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak demi meningkatkan akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam khususnya di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Makan Malam anjuran Kerajaan Sarawak sempena Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024 di sebuah hotel, malam tadi.
Menurut Abang Johari, program ini boleh menjadi platform yang baik untuk semua juruaudit di seluruh Malaysia berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam menjalankan audit dan menambah nilai kepada agensi.
Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024 yang menghimpunkan kira-kira 1,000 juruaudit dari pelbagai sektor diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran awam berhubung kepentingan peranan dan fungsi juruaudit dalam memperkukuhkan akauntabiliti dan tadbir urus sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta.
