SIBU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM84.4 juta untuk melaksanakan Projek Program Grid Bekalan Air bagi menyelesaikan isu bekalan air di Pulau Bruit untuk jangka panjang.
.
Projek Program Grid Bekalan Air – Stressed Areas, Cadangan Bekalan Air Ke Pulau Bruit, Bahagian Mukah itu sedang rancak dilaksanakan dan akan siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kawasan Pulau Bruit mengalami gangguan bekalan air terutama di bahagian utara Pulau Bruit termasuk Kampung Penipah, Kampung Tekajung dan Kampung Bruit disebabkan kekurangan air terawat.
“Kini, kemajuan fizikal projek ini adalah 91.08 peratus dan dijangka akan siap pada suku ketiga 2024.
“Kontraktor sedang menjalankan pengujian dan pentauliahan ke atas komponen projek yang sudah siap seperti stesen pam penggalak di Serdeng dan Saai. Ia untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak bagi tujuan pengoperasian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air Dan Tangki Aras Tinggi di Pulau Bruit, semalam.
Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, dengan siapnya projek ini, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dapat memenuhi keperluan air yang semakin meningkat di Pulau Bruit sehingga 2040 yang dijangka mampu menampung populasi sehingga 16,600 di kawasan tersebut.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Jafri Lias, Pengarah JBALB Ir. Awang Mohamad Fadillah Awang Redzuan.
GAMBAR:UKAS
