Tiang Bendera Ibu Pertiwi di tempat strategik, bersejarah

KUCHING: Tiang Bendera Ibu Pertiwi dipilih dibina di kawasan yang dahulu dikenali Tanjung Kubu susulan sangat bersejarah dan strategik di bandar raya ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerana sejarahnya, pasukan polis Sarawak malahan mempunyai lagu mengenai Tanjung Kubu dan pihaknya juga mengambil Kubu Margherita sebagai bangunan warisan.

“Di samping itu, kawasan ini juga berhampiran Dewan Undangan Negeri (DUN), dan ini saya boleh katakan salah satu kawasan yang sangat strategik (untuk menempatkan Tiang Ibu Pertiwi),” katanya ketika mengadakan lawatan ke Dataran Ibu Pertiwi, di sini, hari ini.

Abang Johari juga menerima sijil pengiktirafan Tiang Ibu Pertiwi secara rasminyq sebagai tiang bendera tertinggi bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara dari Malaysia Book Of Records (MBOR).

Beliau juga menjelaskan Tiang Ibu Pertiwi beketinggian 99 meter melambangkan sembilan bucu yang ada pada Bintang Bendera Ibu Pertiwi dan bucu Bangunan DUN Sarawak.

“Kita lihat bangunan DUN ada sembilan bucu, begitu juga dengan bintang yang ada pada bendera Sarawak yang melambangkan sembilan bahagian di Sarawak ketika dahulu,” katanya.