KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen di Sarawak.
Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Parti PBB mengemukakan cadangan kepada persempadanan semula itu yang masih di peringkat kajian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) Sarawak.
“Jadi kita (Parti PBB) hanya membuat cadangan sahaja, kerana keputusan dimuktamadkan SPR,” katanya selepas melawat Dataran Ibu Pertiwi, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan persempadanan kawasan pilihan raya di Sarawak perlu menggunakan Sistem Westminster dan bukan kaedah ‘seorang satu undi'(one man, one vote).
Katanya, sekiranya kaedah ‘one man, one vote‘ ini digunapakai, maka kawasan pedalaman yang mempunyai populasi yang rendah tidak akan ada wakil rakyat.
Tambahnya, semua negara-negara Komanwel juga mengikut demokrasi ala Westminster.
