KUCHING: Syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Petronas dan Shell menjadi penyumbang kos pembinaan tiang bendera gergasi berhampiran Tebingan Kuching, di sini.
Tiang bendera setinggi 99 meter itu dibina dengan kos RM30 juta itu terletak antara Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Fort Margherita.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkannya dan berterima kasih kepada syarikat minyak terbabit yang memberi sumbangan itu sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial koperat (CSR) mereka yang beroperasi di Sarawak.
“Orang kecoh pasal bendera ini, apa guna bina tiang bendera. Sebenarnya ialah (tiang bendera gergasi terbabit) menjadi ikon kepada kita dan ia tidak membabitkan wang kerajaan,” katanya ketika merasmikan Ambang Tahun Baharu 2024 di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, orang Sarawak akan melihat bendera Sarawak gergasi pada tiang itu dan akan melindungi bendera terbabit dengan apa juga kosnya untuk kepentingan Sarawak.
Beliau berkata, selain tiang bendera itu, syarikat minyak terbabit juga ada menyumbangkan biasiswa pelajaran dan juga tempat latihan kepada anak Sarawak.
Abang Johari di acara itu juga mengumumkan nama bendera Sarawak ialah Ibu Pertiwi manakala kawasan kompleks tiang bendera gergasi itu dinamakan Dataran Ibu Pertiwi dan tiang bendera gergasi dinamakan Tiang Ibu Pertiwi.
