KUCHING: Yang di-Pertuan Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dimasyhur sebagai Penaung Persekutuan Pengakap Malaysia berkuat kuasa 13 Mac 2024.
Menurut Ketua Pengakap Kebangsaan Malaysia Mejar Jeneral (B) Dato Dr Mohd Zin Bidin, pemasyhuran itu dilaksanakan mengikut Perkara 11(2) Dasar, Organisasi dan Peraturan (POR) Persatuan Pengakap Malaysia.
“Tun pernah menjadi Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Kuching dari 1974 hingga 1992 dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak dari 1993 hingga 2009.
“Ia sekali gus melonjakkan pergerakan pengakap di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Pada kunjungan itu, beliau turut menyerahkan alat permasyhuran dan menyampaikan anugerah pengakap tertinggi negara Bintang Semangat Padi Emas kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.
Sementara itu kata Mohd Zin, Wan Junaidi juga penaung yang memegang lencana kayu dalam pengakap di negara ini.
Dalam perkembangan lain beliau berkata,Persekutuan Pengakap Malaysia merancang untuk mengadakan Jambori Peringkat dunia di mana memerlukan tanah seluaa 100 hingga 200 ekar.
“Di Semenanjung kawasan agak sukar untuk kita dapatkan tapi di Sarawak ini merupakan negeri yang besar mungkin kerajaan Sarawak tertarik untuk melaksanakan jambori ini di peringkat dunia,” katanya.
