SINGAPURA: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), InvestSarawak, Pejabat Dagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) menyelaras penyertaan 12 syarikat dari Sarawak yang mempamerkan keupayaan di Ekspo Maritim Asia Pasifik 2024 di sini.
Penyertaan syarikat Sarawak pada ekspo itu dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri MINTRED, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Awang Tengah mengalu-alukan penyertaan aktif pengusaha pembinaan kapal di Sarawak dan kesanggupan mereka untuk menerokai pasaran serta peluang baharu.
Industri pembinaan kapal adalah industri strategik dan luas di Sarawak, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan menyedia peluang pekerjaan.
Sarawak, katanya, boleh dianggap sebagai pusat industri pembinaan dan membaiki kapal di Malsyaia dan daripada 100 limbungan kapal di Malaysia, 68 daripadanya adalah di Sarawak.
Peluang bagi industri perkapalan berkembang adalah cerah memandangkan banyak sektor baharu seperti CCUS, pengangkutan hijau dan sektor gas dan minyak mampan yang akan diterokai, katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, pengusaha industri perkapalan hendaklah meningkatkan keupayaan dengan menggunakan teknologi baharu.
Dengan peningkatkan permintaan terhadap sektor minyak dan gas serta logistik, beliau berkata, industri maritim dijangka kukuh, menggerakkan pertumbuhan dan daya saing masa depan.
Menurut Awang Tengah, banyak vesel bertaraf antarabangsa yang dibuat di Sarawak dieksport ke Indonesia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Australia, Brunei dan China serta Eropah dan ini membuktikan kepakaran dan kemahiran pengusaha limbongan kapal Sarawak.
