Tiga Anjung Singgah YKN di Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan membina kemudahan Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang baharu di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, kemudahan penginapan sementara terbabit disediakan kepada ahli keluarga atau waris yang mengiringi pesakit yang tidak berkemampuan ketika atau selepas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Katanya sehingga kini, terdapat tiga Anjung Kasih YKN yang beroperasi di Sarawak iaitu di Hospital Umum
Sarawak (HUS), Hospital Miri dan Hospital Sibu.

“Pembinaan Anjung Kasih YKN yang baharu di tempat-tempat lain, termasuk Klinik Kesihatan Selangau, akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pengulungan usul menjunjung kasih titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Parlimen, di sini.

Nancy berkata, pembinaan kemudahan terbabit juga tertakluk kepada peruntukan YKN dan penajaan daripada sektor korporat serta mengalukan penglibatan syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan.