KUCHING: Sarawak mencatatkan sebanyak 3,422 kes penyalahgunaan dadah bagi Januari sehingga Mei tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada 2023.
“Pada tahun lalu, bagi Januari hingga Mei, data kita mencatatkan sebanyak 2,433 kes. Namun, dalam tempoh sama, jumlah ini meningkat kepada 3,422 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Peringatan Hari Anti Dadah 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Jeti Pengkalan Kampung Lintang di sini, malam tadi.
Fatimah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 77.7 peratus adalah golongan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun.
“Sebagai tulang belakang masa depan negara, kita tidak boleh membiarkan belia kita terjerumus dalam kancah yang merosakkan ini,”katanya.
Beliau berkata, peningkatan ini mencerminkan keperluan mendesak untuk memperhebatkan usaha pencegahan dan pemulihan dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.
