KUCHING: Sarawak mensasarkan mengekalkan sebanyak 62 hingga 65 peratus kawasan hutan bagi tujuan industri penyimpanan karbon yang akan menjadi sumber pendapatan baharu kepada negeri ini.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri menerusi Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah melaksanakan kempen pemuliharaan pokok dan mengurangkan aktiviti pembalakan.
Ini dibuktikan dengan statistik terkini aktiviti pembalakan negeri ini menurun sebanyak dua juta meter padu menjadikan pengeluaran balak hanya sekitar enam juta meter padu berbanding lapan juta meter padu sebelum ini.
Menurut beliau, ketika ini Sarawak mempunyai 62 peratus kawasan hutan yang menyumbang kepada lebih 40 peratus di seluruh Malaysia.
“Sekarang sudah ada perniagaan karbon. Kita tidak lagi perlu bergantung terhadap pemotongan pokok.
“Tapi kita boleh menggunakan teknologi baharu dari sudut penyimpanan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sarawak di Hutan Simpan Sabal, Serian hari ini.
Pada majlis itu, diadakan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara JHS dan Bintulu Port Holding Berhad (BPHB).
MoU ini akan memudahkan kerjasama antara BPHB dan Jabatan Hutan Sarawak terutamanya dalam aktiviti Pemulihan Landskap Hutan dan Kempen Penghijauan Sarawak.
