Wujudkan program khas bantu pelajar lepasan STPM

KUCHING: Program khas bagi membimbing pelajar Tingkatan Enam perlu diwujudkan untuk menentukan hala tuju kerjaya sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata program itu penting agar pelajar memilih bidang yang menepati keperluan pasaran kerja dan agenda pembangunan negeri.

Beliau menegaskan tumpuan perlu diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.

“Kita mahu anak Sarawak mengisi peluang pekerjaan ini, bukan orang luar. Ramai yang kini memilih kursus tidak sepadan dan akhirnya sukar mendapat kerja apabila kembali ke negeri sendiri,” katanya.

Abdullah berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penangguhan Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa: Inisiatif Pendidikan Premier Sarawak di Dewan HIKMAH, di sini.

Menurutnya, pelaksanaan program itu boleh digerakkan dengan kerjasama Yayasan Sarawak dan Kementerian Pendidikan, termasuk sokongan peruntukan khas di seluruh negeri.

Langkah itu, katanya, juga selari dengan penubuhan Institut AI Sarawak yang bakal melahirkan tenaga mahir tempatan dalam bidang teknologi dan inovasi.