BANDAR SERI BEGAWAN: Hubungan dagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam terus berkembang kukuh dengan merekodkan RM3.39 bilion nilai dagangan pada 2024, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi negeri ini di peringkat serantau dan antarabangsa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah tersebut menunjukkan hubungan ekonomi yang semakin dinamik antara Sarawak dan Brunei Darussalam, berbanding jumlah keseluruhan dagangan luar negeri yang bernilai RM198.7 bilion pada tahun sama.
Menurutnya, angka dagangan yang terus meningkat itu membuktikan kekuatan kerjasama ekonomi kukuh, sekali gus menambahkan keyakinan bahawa Sarawak kekal sebagai destinasi pelaburan yang strategik, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa.
“Sarawak adalah antara destinasi pelaburan yang paling popular di Malaysia, dan kita mencadangkan pelaburan mampan serta inovatif yang akan membawa manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Projek Rimbunan Kaseh Sundar, Lawas bertempat di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) di sini hari ini.
MoA berkenaan dimeterai di antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Agri Business Sdn. Bhd. dengan Sahamada Corporation Sdn. Bhd., dan disaksikan oleh Awang Tengah bersama Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Abdul Manaf Metussin.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, Brunei mempunyai kedudukan strategik untuk menjadi pintu masuk kepada pasaran yang lebih luas. Manakala, Sarawak pula menawarkan sumber semula jadi yang melimpah serta tenaga kerja mahir.
