KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan terus melatih modal insan untuk menjadi tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang teknologi.
Beliau berkata, tenaga kerja berkompetisi dan mahir itu sangat penting bagi membangunkan sumber kekayaan yang dimiliki negeri ini menjadi sumber ekonomi.
Sarawak kaya dengan sumber air, matahari, tanah, hutan dan sumber semula jadi tetapi masih kekurangan tenaga mahir, katanya pada majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Kelapan di CENTEXS, Santubong di sini.
Beliau berkata, oleh kerana Kerajaan Sarawak sekarang fokus kepada pembangunan tenaga hijau bagi menangani perubahan iklim dan ekonomi baharu, lebih ramai modal insan mahir dalam teknologi perlu dilahirkan.
Modal insan yang mahir dalam teknologi itu merangkumi bidang pertanian, tegas beliau dan menambah, Lubok Punggor di Gedong sebagai makmal penanaman padi hibrid terbukti berjaya meningkatkan hasil golongan petani.
“Kita akan turut membangunkannya di Tanjung Purun, Banting (Lingga), Lembah Limbang dan kawasan lain, untuk melahir petani baharu,” katanya.
Menurut Abang Johari, selain padi, kerajaan akan turut menggalakkan pekebun menggunakan teknologi dalam penanaman kelapa di kawasan Sebangan dan Sebuyau yang kini bebas daripada limpahan air masin.
Kelapa yang ditanam menggunakan teknologi boleh menghasilkan 400 biji buah sepokok sekali gus akan meningkatkan hasil petani di samping memiliki banyak kegunaan, katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara CENTEXS dengan 11 pusat pengajian yang lain.
Antara pusat pengajian terbabit ialah Universiti Teknologi Sarawak, i-CATS, Kolej Laila Taib dan Sekolah Antarabangsa Yayasan Sarawak, UNIMAS, UTM, Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak, SEAMED VOCTECH dan Yayasan Hasanah.
Sementara itu, seramai 1,827 graduan menerima sijil berasaskan industri pada majlis itu. Daripada jumlah itu, 1,534 graduan adalah lulusan akademi industri manakala 293 orang lulusan Akademi Digital dan Tenaga Hijau.
