SIBU: Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu esok (11 Januari) bakal menampilkan keunikan deklamasi sajak ‘Pembawa Panji-Panji’.
Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sajak itu mengisahkan perjalanan politik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengetengahkan pelbagai kejayaan dan pencapaiannya dalam membawa Sarawak ke arah menjadi wilayah berpendapatan tinggi.
“Ia antara program unik dalam acara esok, selain penglibatan Sayap Pergerakan Belia buat julung kalinya,” katanya selepas menghadiri persiapan mesyuarat itu di Stadium Tertutup di sini, petang tadi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, raptai pada hari ini bagi memastikan kelancaran perasmian oleh Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Program itu melibatkan golongan veteran, wanita, belia, induk dan pemuda untuk menunjukkan Parti PBB adalah parti inklusif,” katanya.
Katanya, seramai 2,700 dijangka menghadiri konvensyen itu, terdiri daripada 1,128 ahli daripada 24 cawangan, dengan setiap cawangan menghantar 47 perwakilan.
“Kami juga menjemput veteran dari setiap cawangan, serta mereka yang tinggal di Sibu,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Naib Yang di-Pertua parti merangkap Ketua Wanita Dato Sri Fatimah Abdullah dan ADUN Daro, Safiee Ahmad.
