Sarawak perlu kuasai teknologi bangunkan tenaga diperbaharui

KUCHING: Sarawak harus menguasai dan memantapkan teknologi untuk menghasilkan pelbagai tenaga diperbaharui, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap pada sesi dialog sempena Forum Kelestarian dan Tenaga Diperbaharui (SAREF) 4.0 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini, beliau berkata, penghasilan tenaga diperbaharui dengan menerokai sumber semula jadi penting untuk menangani perubahan iklim.

Sarawak boleh menerajui usaha tersebut disebabkan masih kaya dengan sumber asli, katanya dan menambah, hanya dengan menggunakan teknologi, kekayaan sumber asli itu mampu menghasilkan tenaga diperbaharui.

Isu utama yang dihadapi dunia hari ini ialah mencari bentuk tenaga yang boleh menggantikan bahan api fosil, memandangkan pelepasan karbon daripada bahan api fosil menyumbang kepada perubahan iklim, tegas beliau.

“Itulah sebabnya penyelesaian berasaskan alam semula jadi perlu diterokai dan di Sarawak, kita mempunyai air, cahaya matahari dan biomas dan jika digabungkan dengan teknologi, kita boleh menyediakan alternatif kepada bahan api fosil,” tambahnya.

Sebagai contoh, air boleh menjana kuasa hidro dan kedua, daripada air, melalui proses yang dipanggil elektrolisis, boleh menghasilkan hidrogen, katanya.

“Selain itu, teknologi terbaharu yang sedang diterokai di Amerika Syarikat ialah tenaga pelakuran (fusion energy), yang lebih selamat berbanding tenaga nuklear,” ujar beliau.

Selain itu jelas beliau, Sarawak juga berpotensi besar dalam tenaga solar kerana menerima cahaya matahari sepanjang tahun.

Namun begitu, Premier Sarawak menegaskan bahawa teknologi adalah pautan yang masih belum lengkap dalam rantai nilai tenaga boleh diperbaharui ini.

“Satu-satunya ‘missing-link’ yang masih belum lengkap ialah teknologi dan teknologi ini perlu diterokai melalui penyelidikan,” katanya.