KUCHING: Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui apabila meluaskan sumber hidro merentas sempadan ke Sabah, Kalimantan dan Brunei.
Pengerusi Sarawak Energy, Dato Ibrahim Baki berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh rangkaian tenaga serantau, malah seiring aspirasi mewujudkan Grid Kuasa ASEAN berteraskan tenaga hijau.
“Melalui perkongsian tenaga boleh diperbaharui, kita bukan sahaja menggerakkan pertumbuhan ekonomi serantau, tetapi juga berganding bahu mengurangkan pelepasan karbon,” katanya berucap pada Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui 4.0 (SAREF 4.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Forum berprestij itu dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi ruang kepada pemikir utama meneliti pelbagai isu termasuk peralihan tenaga, keterhubungan serantau, tenaga hidro lestari, teknologi baharu, bahan api peralihan, pembiayaan, inovasi, daya tahan iklim serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
Timbalan Menteri Utiliti Hal Ehwal Sarawak Energy dan (PETROS) itu menambah, sejak penganjurannya 2019, SAREF menjadi wadah penting perkongsian idea dan strategi menangani cabaran tenaga di Asia Tenggara, di samping menyokong visi Kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 serta Dasar Peralihan Tenaga Sarawak.
Edisi kali ini katanya, menarik lebih 1,000 peserta dari ASEAN dan rantau lain, memperkukuh lagi kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar tenaga boleh diperbaharui.
“Bertemakan Perkongsian untuk Matlamat Kita: Pertumbuhan Lestari dan Kemakmuran Serantau, forum itu juga menjadi sebahagian daripada acara rasmi di bawah Pengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Selain sesi plenari dan perbincangan, forum turut diserikan dengan Meja Bulat Peringkat Tinggi ASEAN mengenai Grid Kuasa ASEAN, program Adopt-a-Tree untuk pemulihan biodiversiti, Pavilion Belia, Anugerah Tenaga Belia Asia serta lawatan pasca forum ke Loji Hidroelektrik Batang Ai yang meraikan ulang tahun ke-40 operasinya.
