DEBAK: Jabatan Kesihatan diminta memantau dengan teliti kesihatan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka yang mengalami demam perlu disaring segera bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19.
“Kita tidak mahu menambah beban mereka yang berdepan banjir,” katanya.
Menurut Uggah, dua PPS iaitu Dewan Millennia di sini kini menempatkan 141 orang daripada 39 keluarga manakala Dewan Perpaduan menempatkan 223 mangsa daripada 71 keluarga.
“Mangsa masing-masing dari Kampung Babu, Kampung Bungey dan Kampung Lalang di sini, ” katanya selepas melawat 364 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Dewan Millenia dan Dewan Perpaduan di sini, hari ini.
Menjelas masalah banjir di sini, Uggah berharap ia dapat diatasi apabila projek tebatan banjir siap sepenuhnya.
“Projek itu kini telah siap sebanyak sembilan peratus dan kita akan berbincang dengan Jabatan Saliran dan Pengairan ( JPS) untuk mempercepatkan penyiapannya,” ujarnya.
Untuk rekod, empat PPS telah disediakan di seluruh Sarawak termasuk dua di Bahagian Bintulu dan di Sungai Muput, Anap di Tatau.
