Ekosistem keusahawanan Bumiputera diperkukuh – Rubiah

KOTA SAMARAHAN: Kampung Endap, Kota Samarahan menjadi tumpuan menerusi penganjuran Program Transformasi Usahawan MARA 2025.

Program tersebut menampilkan pelbagai pengisian ilmu, latihan kemahiran dan peluang keusahawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program diadakan di Dewan Sri Payung hari ini, bukti kesungguhan MARA memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera dengan menyediakan latihan, bimbingan, geran padanan, skim pembiayaan serta kemudahan premis perniagaan.

Menurutnya, lebih 60,000 usahawan di seluruh negara kini menikmati pelbagai kemudahan di bawah ekosistem MARA.

Sebanyak RM33 juta diperuntuk pada 2025 untuk Sarawak yang dimanfaatkan oleh 1,156 usahawan menerusi pembiayaan, latihan dan pelbagai skim keusahawanan.

“Program ini bukan sahaja medan meningkatkan kemahiran, malah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi luar bandar dan mendekatkan MARA kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan program itu.

Jelasnya, Program Transformasi Usahawan MARA itu diharap menjadi pemangkin kepada lahirnya usahawan Bumiputera yang m cekal, berdaya tahan dan mampu menembusi pasaran.

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SpiM), DanaNITA, Skim Usahawan Profesional, Skim OKU, PUTEK, SEMAi, PUTRA dan SpiKE, selain penyediaan ruang niaga yang telah mewujudkan lebih 1,045 peluang pekerjaan serta penjanaan jualan bernilai RM53.4 juta di Sarawak.

Program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan MARA ini merupakan inisiatif Rubiah sendiri untuk dilaksanakan di Kampung Endap, kampung angkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ia disertai 200 peserta, terdiri daripada penduduk Kampung Endap.