SEBUYAU: Sebanyak enam ekor lembu ditumbangkan dalam Program Ibadah Korban di kawasan Sebangan di sini, hari ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi menghadiri program tersebut.
Daripada jumlah tersebut, lima ekor lembu merupakan sumbangan wakil ADUN manakala seekor lagi disumbangkan oleh wakil Ahli Parlimen bagi membantu menjayakan ibadah korban serta berkongsi rezeki bersama masyarakat.
Menurut Julaihi, program berkenaan melibatkan Kampung Sampat, Kampung Lutong, Kampung Menek dan Kampung Arus Melayu dengan proses penyembelihan serta pengagihan daging korban dilaksanakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.
Beliau turut memuji semangat gotong-royong yang ditunjukkan penduduk sepanjang program berlangsung yang menurutnya mencerminkan perpaduan serta keharmonian masyarakat luar bandar.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan penduduk dalam menjayakan program ini amat membanggakan dan wajar terus diperkukuhkan,” katanya.
Daging korban kemudiannya diagihkan kepada penduduk kampung termasuk golongan asnaf, warga emas serta mereka yang memerlukan agar keberkatan Aidiladha dapat dikongsi bersama.
