Jambatan Batang Lupar 1 bukti keupayaan, komitmen JKR Sarawak

KUCHING: Kejayaan menyiapkan Jambatan Batang Lupar 1 yang merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia membuktikan keupayaan serta komitmen tinggi warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur bertaraf dunia demi manfaat rakyat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian tersebut turut mencerminkan kemampuan JKR Sarawak dalam melaksanakan projek pembangunan berskala besar dengan jayanya selaras agenda pembangunan negeri.

Menurutnya, perkembangan positif JKR Sarawak yang sentiasa menunjukkan peningkatan membuktikan jabatan itu mampu memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Mantar Gawai Dayak JKR Sarawak 2026 di sini, malam tadi.

Tambah beliau, kejayaan tersebut turut membanggakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang sentiasa menekankan pembangunan infrastruktur berkualiti demi kemajuan dan kemakmuran negeri.

Majlis berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga JKR Sarawak sempena sambutan Gawai Dayak tahun ini, selain diserikan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Pengarah JKR Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris serta Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yaw.