KUCHING: Operasi pembenihan awan Sarawak Siri 3/2026 bermula hari ini hingga lima September bagi membantu menangani cuaca panas dan kering serta kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBN), Datuk Amar Douglas Unggah Embas berkata, operasi yang diselaraskan JPBN itu menyasarkan tiga empangan jana kuasa elektrik dan 13 kawasan tadahan air di Samarahan, Sri Aman, Betong, Kapit dan Limbang.
“Operasi ini akan dilaksanakan tertakluk kepada kewujudan awan yang sesuai serta keadaan atmosfera yang mengizinkan,” katanya menerusi kenyataan media JPBN, di sini, hari ini.
Terdahulu, Uggah bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Seksyen Pelaksanaan Operasi Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Arjunaidi Ismail, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS, Datu Felicia Tan dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) merangkap Setiausaha JPBNS, Abdul Wahab Rahim meninjau operasi pembenihan awan.
Pangkalan operasi udara adalah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuching dengan penerbangan menyasarkan altitud antara 5,000 hingga 7,000 kaki.
“Keberkesanan operasi bergantung kepada faktor semula jadi termasuk kewujudan awan, kelembapan, angin, kestabilan atmosfera dan dinamik awan,” tambahnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) akan menganalisis data radar cuaca, imejan satelit, pemerhatian permukaan dan model ramalan sebelum menentukan lokasi serta masa sesuai untuk pembenihan, katanya.
Setiap penerbangan menggunakan empat tangki larutan garam, masing-masing mengandungi 200 kilogram garam yang dilarutkan dalam 1,500 liter air.
Operasi turut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad (SEB), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).
