LAWAS: Pengusaha kraf tangan dari sekitar perkampungan Lawas memerlukan pusat jualan dan pameran untuk memasarkan produk mereka.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata penubuhan pusat itu amat penting disebabkan ramai pengusaha terbabit tiada tempat tetap untuk memasarkan produk mereka.
“Saya mahu agar pihak agensi kerajaan bertanggungjawab dapat mewujudkan pusat untuk jualan kraf tangan di bandar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perantisan Kepimpinan Wanita anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dan Sarawak Craft Council di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.
Henry Sum menegaskan pusat ini kelak harus mempunyai bekalan produk yang konsisten dari kalangan pengusaha kraf tangan tempatan.
“Usaha ini boleh dilakukan melalui program yang dikelolakan di bawah Pusat Wanita di kampung masing-masing,” tambahnya.
Hadir sama Pengarah Sarawak Craft Council Charles Suriya Buas, Pengerusi Pengelola merangkap tokoh Perantis Angeline Patsy Perry.
