PKMM perlu kuasai teknologi baharu sektor pembinaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu pemain industri pembinaan menguasai teknologi baharu bagi meningkatkan keupayaan melaksanakan projek pembangunan negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan teknologi dan kemahiran teknikal penting dalam memastikan sektor pembinaan terus seiring perubahan semasa.

“Kita mesti mempunyai dasar yang jelas, dasar yang dapat melihat masa depan dan dasar yang mana pembangunan ekonomi kita sejajar dengan perubahan zaman,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan
PKMM Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, malam ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada latihan kemahiran dalam pengendalian jentera pembinaan termasuk kren berkapasiti tinggi.

Menurutnya, penguasaan teknologi membolehkan tenaga kerja tempatan terlibat dalam pembinaan struktur yang lebih tinggi dan kompleks.

“Kalau anak-anak kita mempunyai pengurusan kren ini, dari sudut teknikal, bermakna anak kita boleh juga membangun bangunan yang tinggi,” tambahnya.

Premier Sarawak berkata, dalam tempoh enam tahun, sebanyak 22 jambatan telah dibangunkan di Sarawak termasuk di Batang Lupar, Batang Lassa, Batang Paloh, Batang Igan dan Batang Kemerau.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan kepada rakyat menggunakan dana Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata pendapatan negeri meningkat daripada RM7 bilion kepada RM14 bilion pada 2023, membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada infrastruktur, bekalan air, elektrik dan pendidikan.

Abang Johari turut menekankan kepentingan pendidikan dan penguasaan teknologi baharu termasuk hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor serta teknologi satelit sebagai sebahagian daripada hala tuju ekonomi Sarawak hingga 2030.