Bantuan bekalan air ke kawasan terjejas – Fatimah

KOTA SAMARAHAN: Penyertaan wanita dalam tenaga kerja Sarawak turut melibatkan sektor tidak formal yang tidak direkodkan dalam statistik rasmi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebahagian wanita yang bekerja dalam sektor tidak formal tidak termasuk dalam rekod statistik tenaga kerja.

“Sektor tidak formal memang sukar untuk didaftarkan, contohnya perniagaan kecil-kecilan seperti menjual kuih-muih atau perkhidmatan penjagaan seperti menjaga anak jiran.

“Hakikatnya, mereka ini juga bekerja,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sarawak Women at Work, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja tidak formal dan pekerjaan tidak berbayar turut menyumbang kepada kegiatan ekonomi, namun sukar dikenal pasti melalui rekod rasmi berbanding pekerjaan dalam sektor awam.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membincangkan jumlah bekalan air yang dihantar ke kawasan terjejas akibat musim kemarau.

“Terdapat penyelarasan antara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JBALB bertanggungjawab menghantar air melalui lori tangki, manakala JKM pula membekalkan air minuman dalam botol,” katanya.

Menurutnya, bantuan bekalan air diberi keutamaan kepada kawasan yang bergantung kepada tadahan hujan dan sistem bekalan air graviti yang terjejas apabila paras air sungai menurun.

Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Bahagian Sri Aman, Betong dan Daro, manakala orang awam diminta melaporkan masalah bekalan air kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah atau bahagian.

Fatimah berkata, pelaksanaan pembenihan awan memberi hasil positif, dengan kawasan tadahan air diberi keutamaan sebagai sumber utama bekalan air.