KUCHING: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini.
Kunjungan hormat warga universiti terbabit diketuai Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah bersama Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz.
“Antara perkara yang dibentangkan termasuk perancangan penganjuran persidangan dan acara di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” menurut kenyataan UiTM Cawangan Sarawak.
Sebanyak 16 persidangan dan acara disenaraikan dalam perancangan UiTM melibatkan bidang sains sosial, kelestarian, kejuruteraan, kecerdasan buatan, inovasi, teknologi digital, pertanian, perladangan dan pembangunan komuniti.
Selain itu pembentangan kertas cadangan penyelidikan, cadangan FTES untuk anak Sarawak di universiti awam Sarawak serta cadangan penubuhan Kursi Tun Openg History & Heritage (TOHHa).
UiTM Cawangan Sarawak dalam kunjungan juga mengetengahkan cadangan penyelidikan strategik dan antaranya adalah Sarawak Nano-Satellite (Kenyalangsat-1), Potensi Pengekstrakan dan Laluan Pemulihan Unsur Nadir Bumi serta Torium daripada Monazit Sarawak Untuk Bekalan Tenaga Termaju dan Teknologi Superkonduktif.
Selain itu ialah cadangan penyelidikan Penganggaran Potensi Kredit Karbon daripada Pokok Nipah (Nypa Fruticans) di Sarawak, Sistem Penapisan Air Minuman Menggunakan Teknologi Nano (NAPAS), Pemodenan Pertanian Padi Bersepadu Mukah dan Penghasilan Biobahan Api daripada Mikroalga Menggunakan Teknologi 3 Hidrotermal (HTC).
