Operasi pembenihan awan bermula esok

SPAOH: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan operasi pembenihan awan selama tiga hari bermula esok hingga 5 September bagi membantu menangani krisis kekurangan bekalan air susulan cuaca panas dan kering berterusan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu akan memberi tumpuan kepada pembentukan hujan di kawasan strategik yang menjadi sumber utama simpanan air negeri.

Katanya, sasaran utama termasuk Empangan Bakun, Murum dan Batang Ai, selain beberapa kawasan penyimpanan bekalan air di seluruh Sarawak.

“Esok, sebuah pasukan akan melaksanakan pembenihan awan. Kita berharap ia dapat dijalankan mulai 3 hingga 5 September.

“Matlamat kita menyasarkan awan supaya hujan dapat membantu beberapa kawasan, termasuk empangan Bakun, Murum dan Batang Ai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama 35 Ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) kawasan DUN Bukit Saban di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Spaoh, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pembenihan awan bukan kaedah baharu bagi Sarawak kerana operasi sama dilaksanakan pada Mei dan Jun lalu.

Menurutnya, operasi terdahulu menunjukkan hasil memuaskan terutama di kawasan Murum dan Bakun apabila hujan berjaya dihasilkan bagi membantu menambah sumber air.

“Di Murum dan Bakun, ia membawa hasil yang memuaskan, walaupun di Batang Ai hasilnya sedikit kurang.

“Kita harap kali ini ia akan menghasilkan lebih banyak hujan dan usaha pembenihan awan akan diteruskan bagi membantu menyelesaikan masalah air,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri terus memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi menghadapi keadaan panas dan kering yang menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan.

Pusat Operasi JPBNS melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri turut giat memantau status bekalan dan kekurangan air di seluruh Sarawak menerusi bilik operasi di tingkat satu pusat operasi.

Kerajaan negeri pada masa sama meminta orang ramai supaya terus bersabar berdepan cabaran bekalan air, sambil memberi jaminan pelbagai tindakan sedang digerakkan bagi mengurangkan impak kepada penduduk.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong sehingga kini telah mengagihkan 45,000 kotak air mineral kepada penduduk yang terjejas akibat masalah bekalan air.

Operasi pembenihan awan itu diharap mampu menghasilkan hujan mencukupi untuk membantu meningkatkan semula paras sumber air, sekali gus meringankan tekanan bekalan di kawasan terjejas.