FILIPINA: Penyertaan Sarawak dalam Perhimpunan Agung Ke-19 Forum Pelancongan Antara Wilayah Asia Timur (EATOF) menjadi platform memperluaskan pasaran pelancongan antarabangsa.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerjasama serantau penting dalam mewujudkan peluang baharu, memperkukuhkan hubungan antara destinasi serta meningkatkan akses Sarawak ke pasaran antarabangsa.
Katanya, EATOF turut menyediakan ruang untuk Sarawak berkongsi pengalaman, membangunkan inisiatif bersama dan memperkukuhkan hubungan dengan wilayah-wilayah anggota di Asia Timur dan Asia Tenggara.
“Keutamaan kami bukan sahaja untuk menarik lebih ramai pelawat, tetapi juga membina peluang pelancongan mampan yang memberi manfaat kepada komuniti serta memperkukuhkan rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Perhimpunan Agung Ke-19 EATOF di Mactan Expo, Lapu-Lapu City, Cebu, Filipina hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, delegasi Sarawak turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Gangwon, Republik Korea, Cebu, Filipina, Quang Ninh, Vietnam dan Tuv, Mongolia.
Pertemuan berkenaan meneroka potensi kerjasama dalam bidang pemasaran pelancongan, ekopelancongan, hubungan udara, pemasaran digital, Pelancongan Berasaskan Komuniti, pelancongan pendidikan dan kesihatan, pertukaran kebudayaan serta pelancongan kapal persiaran.
Abdul Karim berkata Sarawak akan terus memanfaatkan jaringan antarabangsa tersebut bagi mempelbagaikan pasaran pelancongan dan memposisikan negeri itu sebagai pintu masuk kepada pengalaman unik Borneo.
