Sarawak masuki fasa pembangunan baharu

KUCHING: Sarawak yang memasuki fasa baharu pembangunan, mahu infrastruktur, tenaga, teknologi, alam sekitar dan bakat manusia digabungkan bersama bagi menyokong transformasi ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk membolehkan Sarawak menjayakan transofrmasi ekonomi itu secara mampan, ia tidak boleh dirancangkan secara berasingan.

“Tenaga mesti menyokong industri, pengangkutan mesti dirancang bersama dengan penggunaan tanah dan kesalinghubungan digital,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) Ke-34 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Perhimpunan Agung itu dihadiri 25 ahli ekonomi dan jurutera daripada 25 negara sekali gus menyaksikan perhimpunan FEIAP terbesar dalam 48 tahun sejarahnya.

Perhimpunan itu bertemakan “Merekayasa Peralihan Lestari Melalui Inovasi dan Daya Tahan”.

Abang Johari menegaskan, tindakan terhadap iklim hendaklah disokong oleh data, piawaian jelas dan pembiayaan yang betul.

Oleh itu, katanya Sarawak harus melengkapkan rakyatnya dengan corak ekonomi yang hendak dibangunkan.

Pertumbuhan ekonomi, katanya, harus mewujudkan peuang untuk rakyat dan pembangunan pula hendaklah dinikmati secara saksama antara penduduk bandar dan luar bandar.