SIMUNJAN: Teknologi kejuruteraan moden Building Information Modeling (BIM) akan digunakan bagi membina benteng baharu di Sungai Simunjan sebagai usaha mengatasi masalah hakisan tebing yang semakin serius.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri itu adalah kesinambungan daripada inisiatif terdahulu yang tidak mencapai keberkesanan disebabkan kelemahan struktur asas benteng lama.
“Dulu kita sudah bina benteng, tetapi nampaknya ia tidak dapat menahan arus aliran sungai kerana piling tidak masuk ke bawah.
“Sebab itu kita mahu membina benteng baharu menggunakan dana Sarawak sendiri,” katanya semasa ditemui media selepas Majlis Penangguhan Pesta Simunjan 2025 hari ini.
Menurut Abang Johari, kerajaan meneliti semula reka bentuk dan akan melaksanakan projek tersebut menggunakan teknologi baharu yang dapat menahan tekanan air tinggi dan memastikan ketahanan jangka panjang.
Katanya, penggunaan sistem BIM akan membolehkan para jurutera mensimulasikan tekanan air sebenar sebelum pembinaan dilakukan.
“BIM membolehkan jurutera menguji tekanan air dan kesan arus sebelum binaan sebenar dibuat. Ini teknologi baharu yang kita gunakan supaya reka bentuk lebih tepat dan tahan lama.
“Teknologi yang digunakan kali ini lebih kukuh kerana reka bentuknya mengambil kira tekanan aliran sungai. Benteng ini bukan sahaja untuk menahan hakisan, tetapi juga untuk memperindah wajah Simunjan,” katanya lagi.
Tambahnya, pembangunan benteng itu akan turut mengubah landskap tebing sungai menjadi kawasan rekreasi dan tarikan baharu, dengan kemudahan infrastruktur yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Menurut Premier, selain projek di pekan Simunjan, satu lagi benteng baharu akan dibina di Kampung Sageng yang kini dalam fasa reka bentuk dan dijangka memulakan pelaksanaan pada tahun hadapan.
“Perancangan untuk membina benteng ini sebenarnya sudah ada sejak 2021, namun ketika itu peruntukan belum mencukupi. Sekarang kita ambil alih di bawah dana negeri supaya projek ini dapat diteruskan,” katanya.
