KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) yakin pelaksanaan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLP) dapat memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dan menilai keberkesanan Program Dwibahasa (DLP) yang berjalan enam tahun di negeri ini.
Pengarah JPNS Omar Mahli berkata ujian itu membantu menambah baik kaedah pengajaran agar lebih berkesan serta meningkatkan keyakinan murid berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
“Melalui UP-DLP, kita dapat menilai sejauh mana DLP berjaya membentuk kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid,” katanya selepas meninjau ujian di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road di sini, hari ini.
Ujian yang melibatkan 1,050 pusat di seluruh Sarawak disertai 29,231 calon termasuk 219 calon berkeperluan khas dengan 4,541 petugas terlibat dalam pelaksanaannya, kata Omar.
JPNS turut menyediakan prosedur khas bagi murid yang jatuh sakit, termasuk penempatan di bilik kuarantin dan kebenaran menduduki sesi kedua ujian pada 22 dan 23 Oktober, katanya.