Program kesedaran bendung gangguan seksual di sekolah perlu diwujud

KOTA SAMARAHAN: Program kesedaran bagi menangani isu gangguan seksual di sekolah perlu diwujudkan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato Sri Nancy Shukri terdapat banyak kes yang berlaku tidak dilaporkan menyebabkan kes gangguan seksual berlaku dalam kalangan guru, keluarga dan pelajar.

“Banyak kes-kes berlaku tidak dilaporkan, oleh itu program seperti ini kita bawa ke sekolah supaya pelajar mempunyai maklumat dan kesedaran.

“Begitu juga dengan guru sebab kebanyakan kes kalau kita menyentuh mengenai kes gangguan seksual berlaku dalam kalangan keluarga dan pelajar tidak tahu apa nak buat sebab itu adalah ahli keluarga,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program ‘Back To School’ Tahun 2024 di Kampung Tanjong Bako, Kota Samarahan hari ini.

Dedahnya, seramai 15 ahli panel dari Tribunal Anti Gangguan Seksual telah dipilih untuk menguruskan kes berkaitan penderaan dan seksual yang diketuai oleh Presiden Syafeera Mohd Said dan Timbalannya, Mohd Nasruddin Mohamad. 

“Kita mahu orang yang berpengalaman membantu mencekapkan lagi mereka dalam mengendalikan kes ini. Buat masa kini, bangunan bagi menempatkan ahli panel yang disewa masih dalam proses pengubahsuaian.

“Tetapi perkhidmatan ini perlu disediakan segera, kami menggunakan ruang pejabat yang telah kami susun di KPWKM di Putrajaya yang sudah pun beroperasi,” tambah Nancy.