Keunikan Sarawak daya tarikan pelancong

SINGAPURA: Seramai 3.2 juta pelancong melawat Sarawak dengan menjana hasil pendapatan RM8.2 bilion setakat Ogos tahun ini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan Sarawak bukan berasaskan bilangan pelancong semata-mata, tetapi lebih kepada menarik pelancong yang memberi impak positif serta menghargai keunikan alam dan budaya setempat.

Sarawak mengalu-alukan pelancong yang mahu mencari pengalaman mendalam, menginap lebin lama, dan secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan komuniti luar bandar, katanya berucap pada Persidangan Perniagaan Sarawak Mega Fair 2025 bertajuk ‘Sustainable Tourism in Sarawak: Balancing Growth and Conservation’ di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec di sini semalam.

Sarawak Mega Fair 2025, katanya, mempamerkan keunikan Bumi Kenyalang sebagai ‘permata tersembunyi’ dalam sektor pelancongan yang mengutamakan kelestarian, warisan budaya, serta kesejahteraan masyarakat pribumi.

Menurut beliau, masa depan pelancongan perlu berasaskan pembangunan lestari yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah memelihara alam sekitar dan memperkasa komuniti setempat.

Beliau turut berkongsi bagaimana komuniti pribumi Sarawak telah lama mengamalkan kehidupan harmoni bersama alam sekitar melalui tradisi dan ilmu nenek moyang, jauh sebelum kelestarian menjadi agenda global.

Menurut beliau, amalan tersebut menjadikan Sarawak destinasi pelancongan yang autentik dan bertanggungjawab, khususnya untuk pelancong yang mencari pengalaman bermakna dan menyeluruh.

Sarawak Mega Fair 2025 yang menggabungkan konvensyen, karnival serta gastronomi Sarawak dari 16 hingga 19 Oktober 2025 mengundang pegawai kerajaan, pelabur dan pihak berkepentingan industri untuk membina kerjasama baharu, mempromosikan pembangunan lestari dan meneroka potensi tersembunyi Sarawak.